Ahad, 16 Disember 2012

Darul Hadith An-Nabawiy (Pusat Bahasa Arab & Daurah Hadith)

Penguasaan bahasa arab merupakan asas pemahaman serta penghayatan al-Qur’an dan al-Hadith. Ini amat penting kerana penghayatan al-Qur’an dan al-Hadith adalah merupakan cara untuk memartabatkan diri seseorang secara khusus dan ummah secara umumnya. Selain itu, penguasaan bahasa Arab juga dapat meningkatkan pencapaian dalam pendidikan agama Islam secara khususnya dalam bahagian tafsir al-Qur’an dan al-Hadith. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab institusi pendidikan untuk memberi didikan kepada para pelajar bagi mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Menyedari hakikat inilah, Darul Hadith an-Nabawiy terpanggil untuk menganjurkan Pusat Bahasa Arab dan Daurah Hadith.

Pengajian ilmu hadith merupakan satu bidang yang sangat penting samada bagi peringkat individu, institusi pendidikan mahupun pengajian umum. Melalui ilmu ini, seseorang itu mendapat keyakinan atas setiap pegangan dan amalannya.
Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas’ud radiAllahu ‘anhu, Rasulullaah sollallahu ‘alaihi wa sallam mendoakan keberkatan kepada para perawi hadith baginda.


نَضَّرَ اللَّهُ امْرَأً سَمِعَ مِنَّا شَيْئًا فَبَلَّغَهُ كَمَا سَمِعَ فَرُبَّ مُبَلِّغٍ أَوْعَى مِنْ سَامِعٍ

"Semoga Allah memperindahkan seseorang yang mendengar sesuatu dariku kemudian dia sampaikan sebagaimana dia mendengarnya, maka boleh jadi orang yang mendengar lebih faqih dari yang menyampaikan".

(HR Abu Dawuud, at-Tirmiziy & Ibnu Hibbaan. Disahihkan oleh al-Albaaniy di dalam Sahih at-Targhiib wa at-Tarhiib)

Ulama hadith telah menggariskan kaedah – kaedah yang sitematik bagi menangani persoalan hadith. Isu semasa juga tidak dapat lari dari berurusan dengan hadith sebagai sumber utama di dalam Islam. Kemahiran mengaplikasikan hadith Baginda sollallaahu ‘alaihi wa sallam ini diperlukan untuk mereka yang ingin menguasai ilmu hadith.

Oleh itu, pihak Darul Hadith an-Nabawiy & pihak pengurusan Masjid al-Ikhlas, Kampung Pasir Lada dengan rasa tanggungjawab telah bersepakat untuk menubuhkan Pusat Bahasa Arab & Daurah Hadith melalui Darul Hadith an-Nabawiy. Mudah – mudahan Allah Azza wa Jalla mempermudahkan urusan kita semua.

Kepentingan Pusat Bahasa Arab
1 – Mengelakkan kekeliruan di dalam penggunaan Bahasa Arab serta dapat mengaplikasikannya dengan pantas.
2 – Memberi penerangan secara terperinci tentang struktur pembinaan ayat Bahasa Arab yang betul.

Kepentingan Mempelajari Hadith Nabi sollallaahu ‘alaihi wa sallam secara ‘Talaqqi’
1 – Untuk menilai status sesebuah hadith dari segi matan dan sanad.
2 – Membolehkan kita beramal dengan hadith
3 – Mengetahui cara ulama’ menilai sesuatu hadith
4 – Menolak tuduhan orientalis & golongan anti hadith


Kitab – Kitab bagi Pusat Bahasa Arab
Ilmu Tajwid
Nahwu meer wa hidayatun Nahwi
Al-Arabiyyah lin nasyi’in
Ilmu Sorf
Tashil Aqidah
Usul al-Fiqh
Tarjamah al-Qur’an
Matn Fath al-Qariib
Bahasa Melayu, Inggeris, Matematik & Sains (Mata Pelajaran Tambahan)

Kitab – Kitab bagi Dauroh Hadith
Sahih Muslim
Usul al-Fiqh
Mustolah al-Hadith
Al-Ikmal fi asma’ ar-Rijal
Syarhu Ibni ‘Aqil
Minhaj at-Tolibiin fi fiqh as-Syaafi’e

Syarat – Syarat kemasukan bagi Pusat Bahasa Arab, Darul Hadith an-Nabawiy
1. Terbuka kepada lelaki dan perempuan
2.Berusia 15 tahun ke atas
3. Pelajar lepasan PMR, SMU, atau Pusat Tahfiz
4. Berminat untuk mendalami ilmu agama.
Syarat – Syarat kemasukan bagi Daurah Hadith, Darul Hadith an-Nabawiy
1. Terbuka kepada lelaki dan perempuan
2. Berusia 17 tahun ke atas
3. Pelajar Diploma, pengajian pondok selama 3 tahun atau pelajar lepasan STAM
4. Menguasai asas Bahasa Arab
5. Berminat untuk mendalami ilmu agama.

#Masyarakat umum juga digalakkan untuk mengikuti kelas pengajian bahasa Arab & Daurah Hadith dan dikecualikan dari syarat – syarat yang disebutkan sebelum ini.

Tempoh Pengajian
Tempoh Pengajian bagi Pusat Bahasa Arab adalah 2 (dua) tahun. Bagi para pelajar yang berminat untuk meneruskan pengajian  di sini, boleh meneruskan pengajian di Daurah Hadith di bawah Darul Hadith an-Nabawiy selama 2 (dua) tahun juga.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan